Pernah Nak Jadi Askar – Ini Ceritanya


Pernah dulu aku terbaca satu artikel di dalam akhbar The Star tentang proses pemilihan dan temuduga yang agak getir bagi kemasukan pelajar baru ke kolej penuh prestj, Maktab Tentera Diraja, atau Royal Military College (RMC, juga dikenali sebagai “Sandhurst Malaya”). Tersenyum aku membacanya kerana itulah antara pengalaman manis yang aku sendiri pernah lalui 40 tahun yang lampau. 

Buat yang bertanya, oh tidak, langsung tiada unsur paksaan oleh sesiapa pun dalam hal ini. Sejak aku menerima keputusan Penilaian Darjah 5 (4A, 1B) pada tahun 1982, niat itu telah tertanam di dalam hati; yang aku ingin mejadi seorang RMC boy, dan berkhidmat untuk negara sebagai seorang perajurit. (Selain daripada cita-cita nak masuk universiti. Biasalah budak-budak, macam-macam dia nak jadi.)

Proses permohonan bermula ketika aku di dalam Darjah 6. Setiap calon perlu melalui ujian bertulis dan juga pemeriksaan kesihatan (termasuk “ujian batuk” – yang tahu, tahulah). Kedua-dua ini diadakan di daerah asal masing-masing, jadi untuk aku, di Johor Bahru. Lulus kedua-dua ujian ini, calon akan dihantar ke peringkat seterusnya di RMC, Sungei Besi. Dan di peringkat ini, aku berjaya! 

Perjalanan ke Sungei Besi memang sangat memorable buat diriku. Aku dan puluhan “bakal askar” lain menaiki keretapi KTM dari JB ke Kuala Lumpur dengan penuh semangat dan harapan. Ada beberapa orang calon dari sekolah aku sendiri (Sekolah Temenggong Abdul Rahman 2), sementara yang lain pula dari sekolah-sekolah lain di Johor. Ini juga kali pertama aku kembara jauh tanpa ayah atau ibu. 

Sampai saja di Stesen Keretapi, kami diarahkan menaiki trak askar untuk ke RMC. Memang sangat teruja aku duduk di belakang trak sambil menghirup udara tak berapa segar Kuala Lumpur. “Inilah kehidupan aku tak lama lagi sehinggalah hari tua,” fikir aku ketika itu.

Di RMC, kami ditempatkan secara berkumpulan di dalam beberapa buah bilik. Seterusnya, proses pemilihan pun bermula!

Aku ingat yang kami hanya dibenarkan untuk memakai baju dan seluar sukan berwarna putih. Dan tugasan pertama kami ialah belajar dari pegawai yang bertugas untuk mengemas katil, military-style. Kalau tak tegang cadar yang dipasang, buat lagi sampai jadi!

(Peliknya, skil pertama yang aku belajar ni, tidak dipraktikkan hari ini. “Kemas” katil pun sekadar melayangkan gebar di atas bantal dengan sebaik mungkin, haha.)

Kami juga diajar berkawat dan selalu diarah untuk berdiri tegak dalam barisan untuk mendengar pelbagai taklimat. Dari waktu celik je mata sehingga lampu dipadam pada malam hari, kami perlu mengikut jadual ketat yang telah tersedia.  

Aku juga rasa kagum apabila bertembung dengan abang-bang senior dengan “muka kerek” mereka di kantin atau di sekitar blok penginapan kami. Ada juga aku cuba untuk berborak dengan mereka, tapi hanya terima jawapan sepatah dua saja. Seolah nak beritahu, “Kau belum masuk RMC pun lagi, tak yah nak banyak cakap!” 

Selepas satu lagi ujian bertulis, masanya tiba untuk ujian fizikal pula. Ah, inilah yang dinantikan semua, walaupun bunyinya agak menggerunkan. Fizikal aku ketika itu agak tipikal untuk seorang budak lelaki berumur 12 tahun. Kurus, tapi boleh dikatakan agak fit, hasil gigih bermain bola, badminton dan belon acah.  

Ujian fizikal mengambil masa dua hari yang terasa sangat panjang. Di bawah terik mentari di Sungei Besi, kami diarahkan berlari beberapa pusingan padang beberapa kali, membuat ratusan repetition push-up dan chin-up, merentas balapan halangan (obstacle course) sesuai untuk abang komando dan macam-macam lagi. 

Masih aku ingat ada yang muntah kerana terlalu penat dan ada juga yang give up macam tu saja. Yang mengerah kami semua bukanlah abang senior, tapi pegawai askar yang bengis dan tak peduli yang kami hanyalah budak-budak sekolah rendah yang masih hidup di bawah ketiak emak!

Selesai deraan, maksud aku ujian dua hari itu, calon-calon yang gagal terus dihantar pulang. Tiada peluang kedua. Tapi aku sendiri lulus! Sedikit tak sangka yang aku cemerlang dalam segmen Ninja Warrior itu dan mara ke pusingan seterusnya. 

Semuanya kini bergantung pada sesi interbiu akhir yang diadakan sehari dua selepas ujian fizikal sebelum itu. Bunyinya seolah inilah sesi yang paling “kacang”. Tapi oh, tidak! Rasanya aku tidak akan lagi berdepan dengan sesi interbiu/interogasi yang begitu menakutkan dalam hidup ini.

Bayangkan, selepas mental dan fizikal sudah teruk diuji (orang sekarang panggil, “koyak”), kini aku duduk di dalam bilik mesyuarat dan bersemuka dengan 4-5 orang jeneral askar yang lengkap beruniform, untuk menjawab 1001 soalan yang sangat menguji minda. 

Habis sesi tersebut, kami pun mula mengemas barang masing-masing untuk pulang ke Johor. Aku tak berapa ingat perjalanan pulang itu kerana terlalu letih dan diganggu rasa bimbang akan keputusan akhir yang bakal diterima. 

Beberapa minggu kemudian, surat rasmi dari RMC pun tiba. Aku gagal. Impian aku untuk memakai uniform dan mempertahankan negara, berkecai begitu saja. 

Namun, aku tetap bersyukur. Tidak tertulis “Mejar Zulkifli” dalam perjalanan hidupku, tapi pengalaman aku memberi segala jiwa dan raga untuk menjadi seorang perajurit dan putera MTD, tidak mungkin akan dilupakan.


---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dapatkan buku 'Kisah Hidup & Budaya Pop Anak Gen-X' di SINI

Comments

Popular posts from this blog

The Japanese WW2 Soldier Who Found Islam In Malaya

Ross Ariffin Meninggal Dunia

Ol’ Skool Makan #3: Haji Shariff Cendol -- A Sweet Legacy Of Seremban