Kisah Buaya Puchong: Ketika 264 Ekor Buaya Terlepas Akibat Banjir
Puchong -- sebelum menjadi pusat perbandaran moden dengan pusat beli-belah dan lebuh raya sesak, kawasan ini pernah terkenal dengan satu kejadian luar biasa yang kini menjadi sebahagian daripada sejarah lisan penduduk lama: penampakan buaya di sekitar lombong dan sungai Puchong.
Menurut catatan dan cerita penduduk kampung, pada suatu ketika dahulu terdapat sebuah ladang ternakan buaya di kawasan Puchong. Ladang tersebut dikendalikan oleh seorang pengusaha persendirian, di mana sebanyak 264 ekor buaya pernah diternak untuk tujuan jualan kulit dan daging. Buaya-buaya itu berusia antara enam bulan hingga setahun ketika dibela di ladang tersebut.
Namun, keadaan bertukar apabila banjir besar melanda seluruh negara sekitar awal 1970-an. Air naik mendadak di kawasan sungai, lombong dan paya, menyebabkan 264 ekor buaya yang ditempatkan di ladang ternakan itu terlepas ke kawasan perairan semula jadi.
Setelah banjir surut, usaha menangkap semula buaya-buaya yang terlepas dilakukan oleh pihak berkuasa dan penduduk. Daripada keseluruhan jumlah itu, sekitar 40 ekor buaya berjaya ditangkap semula, manakala selebihnya tidak ditemui.
Fenomena ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat kerana terdapat dakwaan bahawa beberapa buaya yang tidak ditangkap masih dilihat di kawasan sungai dan lombong berhampiran kampung.
Kemuncak cerita ini ialah tersebarnya berita penemuan seekor buaya besar dan panjang di lombong Kampung Sri Aman sekitar tahun 1994 (ada laporan mengatakan 1997). Buaya tersebut akhirnya berjaya ditangkap, dan pemerhatian menunjukkan bahawa ia merupakan buaya yang sudah agak tua serta bersaiz besar -- spesies yang jarang ditemui ketika itu. Buaya ini kemudian diawet dan dipamerkan di Taman Buaya, Air Keroh, Melaka.
Sumber: Koleksi Cerita Asal Usul Dan Sejarah Daerah Petaling


Comments
Post a Comment