Apabila Aku Bertentang Mata Dengan 3 Legenda

Sejak aku beralih kerjaya dari bidang undang-undang ke media lebih 25 tahun yang lampau, aku telah diberi peluang untuk bertemu dan menemubual ramai tokoh dan personaliti terkenal, dari dalam dan luar negara. Ini termasuklah ikon dunia sukan, figura politik dan selebriti hiburan yang dapat aku bersembang dan kongsikan buah fikiran mereka dalam pelbagai platform media, termasuk majalah, akhbar, media digital, radio dan televisyen. 

Tak mungkin dapat aku sebutkan semua, namun izinkan aku berkongsi pengalaman mencungkil cerita dari tiga legenda ini. 

 

The Big Show


Dengan ketinggian 7 kaki 2 inci dan berat 500 paun, The Big Show (nama sebenar, Paul Wight) adalah antara karakter paling besar dan menggerunkan dalam dunia gusti profesional. Sebab itu aku rasa teruja dan sedikit gementar apabila diberi peluang untuk duduk bertentang mata dengan gergasi ini untuk majalah gaya hidup lelaki berbahasa Inggeris, Men’s Review pada 2001.

Lokasi temubual kami adalah di hotel KL Hilton yang masih berdiri megah ketika itu. Sebaik saja melangkah masuk ke Presidential Suitenya, aku lihat orangnya sedang duduk di hadapan meja yang penuh dengan makanan. Ada burger, piza, spageti, ayam goreng dan macam-macam lagi. Imej ini menepati jangkaan aku. Kalau dah orangnya sebesar itu, mestilah keperluan kalorinya juga luar biasa!

Sebaik diberitahu yang si penulis telah sampai, dia pun bangun dan hulurkan tangan untuk bersalaman. Mak ai! Memang terasa kerdil terus. Nak ucap selamat datang ke Malaysia pun aku terpaksa mendongak ke atas. 

Namun, sebaik saja kita memulakan bicara, auranya berubah menjadi “the gentle giant”. Orangnya juga sangat kelakar. Apabila aku tanya, “What’s your diet like?” Dia menjawab, “I’m on a seafood diet. When I see food, I eat.” 

Tentang kesukaran menjadi seorang gergasi pula, dengan selamba dia memberitahu aku yang agak perit baginya untuk mencari awek yang sudi menjadi teman hidup. Dan juga menaiki kereta bersaiz biasa. 

Banyak lagi kisah lucu yang dikongsikan bekas juara dunia WWE ini dan kami berborak seperti berjumpa kawan lama. Di akhir bicara, aku mencuba nasib dan memintanya untuk mencekik leher aku seperti yang sering diperlakukan ke atas musuh gustinya. Pada mulanya dia hanya ketawa dan bertanya, “What? Are you sure?” 

Belum sempat aku menjawab, dia terus menggunakan kedua tangannya untuk melakukan choke sambil membuat ekspresi muka bengis.  

Tak ternilai harganya gambar itu!  




Ian Wright


Siapa mamat ni? Sudah tentu bukan Ian Wright bekas pemain bola sepak kelab Arsenal itu. Sebelum ada 1001 saluran gaya hidup di TV biasa, kabel dan digital, dialah pengacara rancangan kembara keliling dunia paling mahsyur dan banyak memenangi anugerah. 

Setiap episod program ‘Globe Trekker’ di Discovery Channel yang mula bersiaran pada 1994, aku sendiri pasti ternanti-nanti untuk melihat gelagat Ian mencuba pelbagai pengalaman dan makanan yang pelik dan aneh, di mana saja dia berada. 

Kali pertama aku berjumpa dengannya untuk satu acara media pada 2001 di Kuala Lumpur, kami terserempak di dalam tandas. Dengan rokok di bibir, dia anggukkan kepala sambil membetulkan zip seluar selepas menunaikan hajat. Ah, memang awkward sangat.

Pertemuan kedua pada 2003, senarionya lebih normal. Aku diberikan ruang untuk membuat tembual eksklusif di lobi sebuah hotel mewah di ibukota. Siapa yang pernah menonton ‘Globe Trekker’ pasti ingat betapa bersahaja dan gila-gila personaliti si Ian yang berasal dari England ini. Begitu juga beliau apabila tidak di hadapan kamera. Aku merasa seperti berborak dengan seorang kawan yang gemar bercerita. 

Walaupun terkenal dari Kemboja ke Ethiopia, dia langsung tiada aura “macam bagus” yang kadang-kadang boleh dirasakan dengan selebriti dunia lain. Seronok aku dengar cerita dia menelan macam-macam cuisine meloyakan demi menghiburkan audiens setianya. Dua jam bersama dia, rasa macam cepat sangat masa berlalu. 

Dia juga mempelawa aku lepak di kampungnya, Suffolk jika aku melawat England, tapi sampai sekarang aku masih belum memenuhi undangan itu!   


Yusuf Islam


“M.Zul, you akan interview Cat Stevens,” kata penerbit program, Nazrul. Ah, tak sangka aku akan bersemuka dengan pemuzik dan ikon dunia Islam yang cukup berpengaruh itu. Terus aku rasa sedikit gementar kerana itulah satu-satunya temubual eksklusif yang bakal diberikan Yusuf Islam kepada media ketika kunjungannya pada 2010.

Sesi itu pun hampir tak menjadi. Oleh kerana sebab-sebab tertentu, Yusuf tak dapat hadir ke studio ‘Malaysia Hari Ini’ di Sri Pentas, TV3. “Kalau ada rezeki, ada lah,” aku diberitahu. Tapi aku tak henti membuat homework yang sepatutnya. 

Cerita Cat Stevens memeluk Islam pernah menggemparkan dunia pada penghujung dekad 70an. Walaupun beliau berhenti menyanyi selepas itu, lagu-lagunya tetap dimainkan oleh stesen radio dan TV di seantero dunia. 

Bagi aku sendiri, lagu-lagunya yang berperisa folk dan pop itu membawa mesej yang lebih mendalam selepas beliau mengucap dua kalimah syahadah. Lagu ‘Moonshadow’ sebagai contoh, menceritakan bagaimana kita perlu reda dengan ketentuan dan ujian Ilahi dan mencari hikmah di sebalik setiap apa yang berlaku.

Sampai hari yang telah dijadualkan untuk rakaman temubual itu, baru penerbit terima pengesahan daripada pihak Yusuf Islam. Alhamdulillah! Cuma lokasi telah diubah ke hotel PNB Darby Park di mana beliau dan keluarga menginap.

Masuk ke bilik untuk temubual kami, Yusuf kelihatan tenang dan tersenyum sambil bersalaman dengan semua kru produksi dan aku sendiri.  Temubual kami selama lebih kurang 15 minit terasa begitu singkat. Semua soalan yang diajukan dijawab Yusuf dengan tenang dan penuh hemah. 

Antara soalan yang sempat aku tanyakan, “What is your message to world leaders when you meet them?” Dia jawab dengan tegas, "If you're a Muslim, be a good Muslim. If you are a Christian, be a good Christian!”




---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Dapatkan buku 'Kisah Hidup & Budaya Pop Anak Gen-X' di SINI





Comments

Popular posts from this blog

The Japanese WW2 Soldier Who Found Islam In Malaya

Ross Ariffin Meninggal Dunia

Ol’ Skool Makan #3: Haji Shariff Cendol -- A Sweet Legacy Of Seremban