Pengalaman Berkhatan Macam Kena Gigit Semut? (Sedikit 18SX)

Tolong sikit, tak mainlah “sunat laser”. Generasi kami menggunakan peralatan tajam untuk beralih status dari kanak-kanak ke dewasa. Ia juga memberi lesen untuk melontarkan kata-kata berlagak dengan nada riak kepada yang masih belum dipotong apa yang sepatutnya dipotong. 

Ceritanya biasanya begini. Soalan pertama yang ditimbulkan — bilakah masa yang paling sesuai untuk berkhatan? Ramai yang percaya, lagi berumur, lagi “liat” nanti anunya. Tapi jangan ketika terlalu kecil, nanti takut “adik” takkan membesar lagi. Langsung tidak saintifik, tapi itulah antara mitos yang dipegang sebagai fakta dulunya. 

Aku sendiri telah ditentukan oleh ayah dan pakcik-pakcik untuk berkhatan ketika aku di Darjah 4. Dan oleh kerana aku merupakan anak tunggal, aku akan berkhatan bersama 3 orang sepupu yang lain (seorang lebih tua, seorang sama umur dan seorang lagi lebih muda). 

Majlis kemudiannya ditetapkan akan berlangsung ketika cuti sekolah akhir tahun. Jadi, sebaik loceng tamat sekolah berdering pada hari terakhir penggal 3, otak ini hanya boleh berfikir tentang hari bersejarah yang bakal mendatang. Aku mula kerap berpeluh kerana runsing memikirkan segala macam kemungkinan yang boleh berlaku. 

Orang-orang sekeliling aku pula banyak memberikan kata-kata semangat dan meyakinkan aku semuanya akan baik-baik saja. "Alah, tak rasa apa pun, 10 saat je," kata salah seorang pakcik. "Macam kena gigit semut je lah," ujar seorang lagi. 

Alahai, tahulah aku masih budak lagi, tapi ingat nak percaya ke bab claim “macam kena gigit semut je,” tu semua? 


Apapun, ayah-ayah kami telah mendapatkan perkhidmatan seorang doktor yang agak terkenal dan yang telah mengkhatankan ratusan budak lelaki lain sebelum kami. Biasanya di hospital tapi beliau setuju untuk datang ke rumah nenek di Kampung Melayu, Johor Bahru khas untuk kami. Buat yang bertanya, kami tidak adakan sebarang ritual bermandi, dan kami tidak disunatkan sambil bertenggek di atas batang pisang.  

Sebaliknya, kami dikhatankan di atas meja makan di ruang tamu. Ini cerita benar! 

Sebelum itu, giliran perlu ditentukan. Aku mendengar hujah yang dibentangkan. Jadi orang pertama, pisau masih tajam, dan ada risiko doktor akan terlebih potong. Jadi yang terakhir pula, ubat bius mungkin kehabisan.

Aku beranikan diri untuk menjadi nombor satu. 

Aku memakai kain pelikat yang telah disediakan dan berjalan lemah ke arah meja sambil membaca Al-Fatihah. Dengan jantung yang berdegup kencang, aku panjat ke atas meja dan membaringkan diri. Untuk menenangkan aku, ayah memberi majalah lawak Gila-Gila untuk dibaca. Ingat ya, ini ialah kisah benar.

Aku cuba membaca majalah tersebut tapi gagal kerana memegangnya secara terbalik. Tapi aku dengar bunyi klang-klung peralatan tajam yang sedang digunakan. Prosesnya mengambil masa beberapa minit dan walaupun telah dibius, terasa juga sakitnya. Tapi Alhamdulillah, taklah seperit yang aku bayangkan. 

Setelah selesai semuanya, aku dibawa ke “bilik sunat” di bahagian depan rumah untuk aku baring dan bertenang. Kain aku diangkat dan dijadikan seperti khemah. Aku ingat yang bilik itu agak panas dan apabila ubat bius sudah kurang kesannya, terasa pedih di bawah sana.       


Baca cerita penuh dan banyak lagi kisah hidup Gen-X dengan mendapatkan buku 'Kisah Hidup & Budaya Pop Anak Gen-X' di SINI


Comments

Popular posts from this blog

The Japanese WW2 Soldier Who Found Islam In Malaya

Ross Ariffin Meninggal Dunia

Ol’ Skool Makan #3: Haji Shariff Cendol -- A Sweet Legacy Of Seremban