Bagaimana Budaya Popular Dan Seorang Guru Tuisyen Cina Membawa Aku Ke Universiti
Ketika aku membesar, hanya ada enam buah universiti awam sahaja di Malaysia. Jadi, untuk mendapatkan tempat dan digelar seorang Budak ‘U’ ialah sesuatu yang dianggap sukar, tapi sangat membanggakan.
Dalam keluarga besar sebelah Allahyarham ayah aku sendiri, ada dua atau tiga orang sepupu yang berjaya ke menara gading sebelum aku menduduki peperiksaan SPM, dan aku memang memandang tinggi kepada mereka. “When I grow up, I want to be like them,” fikir aku.
Namun, faktor penting yang memberi aku motivasi untuk menjadi seorang mahasiswa juga ialah pengaruh positif budaya popular.
Mungkin ramai yang tak berapa ingat, tapi awal tahun 80an, stesen TV ada menayangkan sebuah siri berjudul ‘The Paper Chase’ yang berkisar pelajar-pelajar jurusan undang-undang di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Tercetus dalam diriku impian untuk belajar undang-undang (yang akhirnya menjadi kenyataan) kerana tertarik dengan vibe nerd yang bijak, serta karakter seorang profesor garang (Professor Kingsfield) yang aku rasa begitu menarik sekali.
Tapi aku pasti tiada siapa yang boleh lupakan filem ‘Ali Setan’. Keluar di pawagam pada tahun 1985, aku sendiri menontonnya di televisyen pada Hari Raya tahun berikutnya (tayangan filem panggung di TV pada musim Hari Raya memang sangat dinanti ramai), dan meninggalkan kesan yang mendalam buat diri ini.
Filem rom-com ini dibintangi “couple” yang diminati ramai ketika itu, Ogy Ahmad Daud dan Allahyarham Azmil Mustapha, dan menceritakan kisah si “ulat bulu” berperangai macam syaitan, Ali (Azmil) yang gigih mengurat awek freshie, Asmidar (Ogy).
‘Ali Setan’ difilemkan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan walaupun ia terkenal dengan dialog lawak yang melekat di otak (Contohnya: “Tak makan kacang? Bubur kacang, makan?) serta runut bunyi yang sedap, paparan kehidupan kampus yang santai dan seronok membuat ramai dari generasi aku terus menanam azam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Mana tidaknya. Rakan-rakan sekuliah Ali semua nampak “sporting” dan sempoi. Dalam kampus pula ada pelbagai kemudahan untuk beriadah. Waktu malam, ada parti tepi kolam renang dengan makanan bbq yang enak dan awek yang ramai. Tiba saja hujung minggu, boleh bersantai di pantai atau Penang Hill. Siapa yang tak nak?
Namun, beberapa tahun sebelum fenomena ‘Ali Setan’ meletup, aspirasi untuk ke universiti telah terilham dari sumber yang lain pula.
Baca cerita penuh dan banyak lagi kisah hidup Gen-X dengan mendapatkan buku 'Kisah Hidup & Budaya Pop Anak Gen-X' di SINI


Comments
Post a Comment