Jom Jamming!

Gambar rare 'B' Sound Studio, JB
Screenshot gambar tersangat rare studio lejen, 'B' Sound Studio, JB


Inilah undangan yang selalu aku nantikan! Antara aktiviti yang boleh dianggap “sihat” ketika zaman remaja dulu, bermain muzik bersama kawan-kawan memang seronok dan mereka yang terlibat akan serta-merta dianggap kool.

Di Johor Bahru, studio jamming yang paling terkenal dan ikonik era 80an ialah ‘B’ Sound Studio yang terletak di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Tidak keterlaluan kalau aku katakan semua kumpulan rock yang muncul dari JB pernah jamming di sini. Baik Search, Lefthanded, Bumiputra Rockers dan geng seangkatan mereka. Itulah sumbangan ‘B’ Sound kepada industri muzik tempatan.

(Studio ini telah dibuka dan dimiliki oleh seorang pemuzik 60an, Allahyarham Subahunu Ali. Dalam catatan Joey BPR di laman Facebook beliau, “The Great Bob Banu” telah digelar sebagai “Bapa Muzik Johor”.)

Kali pertama aku menjejakkan kaki ke dalam sebuah studio jamming juga adalah di ‘B’ Sound. Ketika itu, aku masih baru mula meminati muzik rock dan begitu teringin untuk belajar memainkan lagu-lagu Scorpions, Deep Purple dan band-band tempatan. Aku beli gitar tong di sebuah kedai di Tampoi dan mula mengajar diri sendiri untuk bermain.

Perit juga jari pada mulanya menekan tali pada fret untuk menghasilkan bunyi. Aku beli buku-buku kord lagu yang juga lengkap dengan lirik dan menghabiskan masa berjam-jam untuk bermain dengan baik. 

Lagu pertama yang aku belajar? Sudah tentulah sebuah lagu slow rock dalam kord minor, iaitu ‘Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi’ oleh Lefthanded. Masih ingat lagi sususan kord untuk bahagian rangkapnya; AM, DM, G, AM. Lagu yang cukup senang kalau difikirkan sekarang. 

Namun, kali pertama aku pergi jamming di ‘B’ Sound Studio, aku hanya duduk terperosok di tepi dinding, terkesima melihat kawan aku bermain gitar karan di depan mata. Kawan yang dimaksudkan ialah Ungku Hyder, yang masih bermain muzik sehingga kini. 

Boleh dikatakan Hyder ini pemuzik paling handal di sekolah kami, English College, JB. Power tak power, dia pernah dijemput bermain gitar utama untuk kumpulan Handy Black, waktu kami masih di dalam Tingkatan 5. Ingat lagi aku pergi ke konsert Handy Black dan Rusty Blade di Dewan Jubli Intan, JB dan melihat Hyder dengan selamba “menggoreng” gitar Fendernya di hadapan ribuan kutu rock! 

Jadi, biasanya kalau dia ber-jamming, aku mesti menempel sama. Waktu itu, sejam dalam studio, bayarannya RM10. Jika studio kosong, penjaga ‘B’ Sound membenarkan juga kami jamming selama 30 minit untuk RM5.

Ada masanya, Hyder juga akan bergabung dengan siapa saja yang kebetulan ada di studio. Pernah sekali, Najib, gitaris Gersang yang menggantikan Kid, masuk sekali untuk bermain 2, 3 buah lagu. Aku sendiri masih lagi gementar dan kurang konfiden untuk bermain gitar elektrik walaupun sering digesa Hyder. 


Baca cerita penuh dan banyak lagi kisah hidup Gen-X dengan mendapatkan buku 'Kisah Hidup & Budaya Pop Anak Gen-X' di SINI

Comments

Popular posts from this blog

The Japanese WW2 Soldier Who Found Islam In Malaya

Ross Ariffin Meninggal Dunia

Ol’ Skool Makan #3: Haji Shariff Cendol -- A Sweet Legacy Of Seremban