8 Gajet Idaman Era 80an
Jangan disangka zaman Gen-X membesar tiada gajet. Memang kami lebih cenderung mencari keriangan di luar rumah dengan bermain teng teng, sepak yem, ceper dan macam-macam lagi, tapi kami juga tidak terkecuali dari teknologi.
Inilah senarai 8 peranti yang mencuri tumpuan lebih empat dekad yang lalu:
Nintendo Game & Watch
Aku sendiri dihadiahkan dengan konsol permainan pegang tangan ini selepas aku berkhatan pada 1981. Ada pelbagai versi yang Nintendo keluarkan, tapi yang pertama menjadi milik aku ialah ‘Popeye’, berdasarkan siri kartun yang kita semua kenal. Permainannya mudah saja. Pemain hanya perlu menggerakkan Popeye ke kiri dan kanan untuk menangkap apa saja yang dibaling aweknya, Olive Oil, sambil mengelak dipelangkung musuh ketat, Brutus. Simple, tapi memang tak boleh berhenti main! Aku pernah juga memiliki dua versi lain, ‘Octopus’ dan ‘Turtle Bridge’, tapi aku tak berhenti ketagih bermain ‘Popeye’.
Kalkulator Tinju
Apa kena mengena sukan tinju dengan alat mengira? Entahlah, tapi ia tidak menghalang pengeluar barangan elektrik Casio untuk menghasilkan kalkulator yang juga permainan boxing dikenali sebagai Casio BG-15. Untuk seseorang yang tidak gemarkan matematik seperti aku, gajet ini membolehkan aku kelihatan seperti membuat kiraan untuk kerja rumah dengan tekun, tapi sebenarnya sedang gigih menumbuk pihak lawan seperti Muhammad Ali, sampai menang. Patut pun matematik aku masih lemah sehingga hari ini.
Konsol Permainan Atari
Walaupun bukan yang pertama di dunia, jenama Atari boleh dikatakan paling popular era 1980an. Aku sendiri tak pernah memiliki Atari ni, tapi pernahlah tumpang sekaki main dengan sepupu sepapat yang lebih berkemampuan. Game yang paling laku keras? Sudah tentulah ‘Pac-Man’. Ya, ‘Pac-Man’ yang masih diminati generasi kini, asalnya dari konsol Atari 2600 lebih 40 tahun yang lampau!
Komputer Peribadi ZX Spectrum
Tahun 80an sudah ada komputer peribadi? Tolonglah jangan pandang sebelah mata! Dua jenama yang terkenal ketika itu ialah Comodore 64 dan ZX Spectrum, kedua-duanya dikeluarkan pada 1982. Aku pernah dihadiahkan dengan sebuah ZX Spectrum dan terus terasa seperti karakter dalam filem ‘War Games’. Tapi sebenarnya, taklah secanggih mana pun Spectrum ini. Memorinya? 48K! Memang lawak bila kita kini bercerita tentang gigabait dan terrabait. “Komputer” ini juga datang hanya dengan keyboard sahaja. Tiada monitor, jadi perlu dicucuk kabelnya ke set televisyen. Perisian pula datang dalam bentuk kaset, dan untuk bermain, perlu disambungkan kepada tape recorder. Tapi dengan ZX Spectrum inilah bermulanya “karier” aku dalam permainan ‘Football Manager’!
Baca cerita penuh dan banyak lagi kisah hidup Gen-X dengan mendapatkan buku 'Kisah Hidup & Budaya Pop Anak Gen-X' di SINI


Comments
Post a Comment