Melekat Depan TV Dulu-Dulu

 

Mungkin generasi sekarang susah nak “brain” fakta ini, tapi tahun 1970an and awal 80an, hanya ada dua saluran televisyen di Malaysia. Benar, anda hanya perlu putar tombol TV ke ‘1’ atau ‘2’ untuk menonton program yang tersedia. Nombor yang lain hanya sekadar perhiasan.

Set televisyen itu sendiri besar gedabak dan datang dengan kabinet built-in. Jadi di atas TV akan diletakkan gambar keluarga, bunga plastik, trofi bola, radio transistor dan macam-macam lagi. Dekad 70an, TV masih hitam putih, dan TV warna hanya digunakan selepas siaran berwarna bermula secara rasmi di awal tahun 1980an.

Siaran akan bermula pada waktu petang dan berakhir tengah malam. Waktu lain, kalau nak juga buka TV, kita akan lihat skrin diisi grafik pelik dan bunyi yang membingitkan. Lebih dekat dengan waktu siaran bermula, ia akan bertukar kepada sejenis test pattern yang berwarna-warni.

Rangkaian Pertama mula diterbitkan oleh Televisyen Malaysia selepas penubuhannya pada Disember 1963. Televisyen dan Radio Malaysia kemudiannya digabungkan menjadi Radio Televisyen Malaysia pada 1969, dan muncul pula Rangkaian Kedua. Ini sajalah dua saluran yang ada sehingga munculnya stesen televisyen swasta pertama, TV3 pada 1984.

Bagi kami yang membesar di Johor Bahru pula, siaran TV Singapura juga tersedia untuk ditonton melalui Saluran 5 di bawah Singapore Broadcasting Corporation (SBC) yang menayangkan program berbahasa Inggeris dan Melayu. Kelebihan ini membuat kami ada perasaan “eksyen” sedikit sebab dapat menonton program yang lebih hip dan terkini.

Apapun, menonton TV memang sentiasa dinantikan dan menjadi “acara” utama dalam rutin harian ketika itu. Ia bermula dengan menerjah bahagian hiburan dalam akhbar tempatan yang menyediakan senarai lengkap rancangan yang akan disiarkan.  

Petang sudah tentu bermula dengan siaran kartun. ‘Pink Panther’, ‘Popeye’ dan ‘Tom & Jerry’ antara yang menjadi kegemaran ramai. Tapi yang paling aku tak sabar adalah hari Ahad kerana siaran TV Singapura akan bermula awal pagi dan program kanak-kanak disiarkan secara back-to-back untuk beberapa jam.

Memang tak berganjaklah aku menonton ‘Sesame Street’, ‘The Flinstones’, ‘The Smurfs’, ‘Scooby Doo’ dan banyak lagi. SBC juga ada menerbitkan rancangan kanak-kanak, ‘Mat Yoyo’ yang dihoskan Mat Sentol dan dua orang budak memakai kostum kucing, Yoyo dan Yaya. Masalahnya ketika itu, kalau aku bersekolah sesi pagi, memang terlepaslah semua rancangan ini. Tapi sekali-sekala dapat juga tonton bila terasa “demam” dan tak dapat ke sekolah.

Sebelum slot ‘Cerekarama’ menjadi mahsyur di TV3, ramai yang sentiasa menunggu ‘Drama Minggu Ini’ di RTM1. Montaj pengenalan dengan topeng yang berubah ekspresi itu terpahat dalam ingatan sehingga sekarang. Di TV Singapura pula ada slot ‘Sandiwara’ yang pernah buat aku trauma dengan episod Osman Zailani diganggu hantu.

Genre soap opera jugak akan pasti ramai yang berkumpul di depan TV untuk tahu apa yang terjadi minggu itu. Apa lagi kalau bukan ‘Dallas’ yang paling dinanti ramai. Plot twist, “Who shot JR?” (“Siapa tembak JR?”), menjadi buah mulut acik dan akak untuk beberapa bulan jugaklah. Di Amerika, 90 juta orang menonton episod yang mendedahkan siapa penembaknya.

Sangat popular siri ‘Dallas’ di sini, kita ada versi tersendiri, ‘PJ Holding’ yang dibintangi Aziz Singah, Yusuf Haslam, Melissa Sila dan ramai lagi. Fuh, cuba tonton opening montagenya di laman YouTube. Muziknya mantap, dan pilihan shot bangunan-bangunan pencakar langit dan pengenalan pelakon nampak mahal dan dalam kelas tersendiri. Tak hairanlah kenapa ia sentiasa dinanti ramai. 


Baca cerita penuh dan banyak lagi kisah hidup Gen-X dengan mendapatkan buku 'Kisah Hidup & Budaya Pop Anak Gen-X' di SINI

Comments

Popular posts from this blog

The Japanese WW2 Soldier Who Found Islam In Malaya

Ross Ariffin Meninggal Dunia

Ol’ Skool Makan #3: Haji Shariff Cendol -- A Sweet Legacy Of Seremban