Bangunan asal Muzium Insitu Jugra ini merupakan Balai Polis Lama, Jugra di Daerah Kuala Langat. Muzium ini terletak kira-kira 50 meter dari Pengkalan Batu Hampar di mukim Jugra dan Bandar, Kuala Langat. Muzium yang dibuka pada tahun 2012 ini pada asalnya merupakan sebuah balai polis daerah atau lebih dikenali sebagai ‘Rumah Pasung’. Bangunan ini berfungsi sebagai tempat untuk pesalah-pesalah jenayah menerima hukuman, menerusi sistem kehakiman British pada ketika itu yang mana bahagian atas merupakan sebuah mahkamah manakala tingkat bawah digunakan sebagai penjara. Ia telah dibina oleh Kapten Harry Charles Syers, seorang pegawai polis British pada tahun 1878. Bahan binaannya terdiri daripada batu pejal (granit) yang dipotong dalam bentuk empat segi untuk membentuk struktur bangunan supaya kukuh dan teguh. Bagi melindungi dan memelihara nilai sejarah dan warisan yang dimilikinya bangunan ini telah diwartakan sebagai monumen lama/tapak tanah bersejarah oleh Jabatan Warisan Negara pa...